Israel ancam ilhak Genting Gaza

TEL AVIV - Menteri Pertahanan Israel mengancam untuk mengilhak sebahagian wilayah Gaza melainkan Hamas membebaskan baki 59 tawanan.
Ugutan itu dibuat Israel Katz pada Jumaat, empat hari selepas Zionis melancarkan semula kempen pengeboman ganas ke atas enklaf tersebut dan meragut hampir 1,000 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.
Katz dengan angkuh memaklumkan dia telah mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk menduduki lebih banyak kawasan di Gaza dan mengancam untuk memperluaskan zon penampan di sekitar wilayah tersebut yang dikhuatiri akan membawa kepada pendudukan secara kekal.
Operasi ketenteraan berskala besar tersebut diselaraskan bersama pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sebelum ini memberi idea mengarut untuk mengambil alih Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan, Mesir menafikan laporan rangkaian media yang mendakwa ia sedang bersiap sedia untuk memindahkan kira-kira 500,000 penduduk Gaza secara sementara ke bandar di Sinai Utara sebagai sebahagian daripada projek pembinaan semula wilayah berkenaan.
Perkhidmatan Maklumat Negara (SIS) menegaskan ia sebagai dakwaan tidak berasas dan bertentangan dengan pendirian Kaherah sejak fasa awal perang genosid tercetus pada Oktober 2023.
Sebelum ini, inisiatif dicadangkan Mesir untuk membangunkan semula Gaza di samping mengekalkan penduduk Palestin di tanah air mereka mendapat lampu hijau pemimpin Arab. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

