Bumbung empat rumah, tabika rosak dibadai puting beliung

SEMPORNA - Empat rumah dan sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat dibadai angin puting beliung di Kampung Sungai Tuhok, di sini, pada Jumaat.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Mazlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4 petang.
Katanya, seramai enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 13 kilometer dari BBP Semporna.

"Bilik Kawalan BBP Semporna telah menerima laporan bencana alam puting beliung berlaku di Kampung Sungai Tuhok, yang mana menurut penduduk, kejadian berlaku pada jam 1.30 tengah hari.
"Pasukan bomba ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati sebanyak empat rumah serta sebuah Tabika Kemas mengalami kerosakan di bahagian bumbung," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 5.05 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!