Guru KAFA, imam antara 70,000 terima 'duit raya' RM250 - PM

Anwar tiba di Bazar Ramadan Astaka Jalan Padang, Kemaman di sini pada Jumaat
Anwar tiba di Bazar Ramadan Astaka Jalan Padang, Kemaman di sini pada Jumaat
A
A
A

KEMAMAN - Perdana Menteri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM250 kepada lebih 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja serta marbut.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, BKKA tersebut akan dibayar pada minggu depan sebelum Aidilfitri.

"Bagi menghargai sumbangan besar lebih 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut, kerajaan bersetuju memanjangkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada mereka sebanyak RM250 dengan peruntukan sebanyak RM17 juta.

"Insya-Allah, BKK Aidilfitri ini akan dibayar bermula minggu depan," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri Terengganu 2025 di Masjid Sultan Ahmad di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1.836 bilion bagi Belanja Pembangunan di negeri Terengganu, berbanding RM1.597 bilion pada tahun 2024.

Menurutnya, peruntukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM239 juta berbanding tahun sebelumnya.

"Merujuk sumber Data MyProjek sehingga 10 Mac lalu, Terengganu mempunyai 432 projek yang sedang dilaksanakan.

"Selain itu, sebanyak 1,363 projek telah siap dengan kos keseluruhan RM60.10 bilion, merangkumi semua negeri di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 83 projek telah siap di Terengganu dengan kos keseluruhan RM1.826 bilion," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2.243 bilion bagi pelbagai projek tebatan banjir serta pemuliharaan muara sungai dan hakisan pantai di Terengganu.

"Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar peruntukan terdiri daripada projek pemuliharaan muara sungai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM999.86 juta.

"Selebihnya merangkumi projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir sebanyak RM581.39 juta serta Projek Loji Rawatan Kumbahan dan Rangkaian Paip Pembetungan bernilai RM662.26 juta," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!