Pemandu terlanggar sekumpulan lembu, seekor tersangkut dalam but kereta

LANGKAWI - Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta yang dipandunya melanggar sekumpulan lembu dalam kejadian di Jalan Ulu Melaka pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Proton Wira Aeroback yang dipandu Mohamad Shahrul Hanafis Shamsur, 26, dalam perjalanan dari Ulu Melaka menuju ke Ayer Hangat.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian iaitu di hadapan depoh idaman sekumpulan lembu melintas secara mengejut dari kiri ke kanan jalan.
“Pemandu terbabit tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan lembu tersebut. Salah seekor lembu terbabas ke atas kenderaan dan tersangkut di ruang belakang kereta, menyebabkan cermin belakang pecah serta bumbung kemek,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, lelaki terbabit yang merupakan pemandu bot pelancong di Tanjung Rhu, bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Keadaan jalan pada waktu kejadian kering dan cuaca baik, jadi insiden dipercayai berlaku akibat lembu yang melintas secara tiba-tiba.
"Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!