Myung-bo akui Korea Selatan goyang di Goyang

Myung-bo
Myung-bo
A
A
A

PENGENDALI Korea Selatan, Hong Myung-bo, mengakui bahawa Taegeuk Warriors mempamerkan prestasi terburuk dalam kempen kelayakan Piala Dunia selepas diikat 1-1 oleh Oman di Stadium Goyang.

Keputusan terkini itu menambah derita Korea Selatan yang sebelum ini terikat 1-1 ketika melakukan kunjungan ke Amman menentang Palestin pada November lalu.

Hwang Hee-chan meletakkan tuan rumah depan pada minit ke-41, namun Ali Al-Busaidi menyamakan kedudukan pada minit ke-80, mengejutkan Korea Selatan yang turut kehilangan Lee Kang-in akibat kecederaan buku lali.

"Ini adalah prestasi terburuk kami setakat ini dalam pusingan kelayakan ini. Sudah tentu, kami menghadapi kesukaran sejak awal kerana kombinasi barisan pemain yang baharu.

"Kami dibolosi dengan mudah, membuatkan kami rasa seperti tidak pernah benar-benar mengawal permainan walaupun mendahului," kata Myung-bo selepas perlawanan.

Myung-bo juga mengakui beliau tidak pernah merancang untuk menurunkan

Kang-in, yang hanya menjalani latihan selama sehari, dan menambah bahawa pemain itu tidak akan bermain jika Paik Seung-ho tidak mengalami kecederaan minit ke-38.

Keresahan isu kecederaan menyelubungi Korea Selatan sebelum perlawanan, apabila pertahanan kelab Bundesliga Jerman, Bayern Munich, Kim Min-jae, menarik diri daripada skuad akibat tendinitis achilles.

Sementara itu, pemain tengah kelab Eredivisie Belanda, Feyenoord Rotterdam, Hwang In-beom, pula direhatkan sebagai langkah berjaga-jaga selepas pulih daripada kecederaan sebulan.

Sementara itu, kapten pasukan, Son Heung-min, tidak mahu terlalu meratapi keputusan berkenaan selepas gagal menjaringkan gol.

"Saya rasa seperti mengecewakan rakan sepasukan hari ini, tetapi ini bukan satu-satunya perlawanan yang akan kami mainkan bersama.

"Kami telah berjaya mencipta beberapa situasi positif untuk sampai ke tahap ini. Kami harus cuba belajar daripada perlawanan ini dan mengambil langkah seterusnya," kata Heung-min.

Korea Selatan kekal di puncak Kumpulan B dengan 15 mata, tiga mata di hadapan Jordan, tangga kedua selepas menang 3-1 ke atas Palestin di Amman.

Korea Selatan akan bertemu Jordan di Stadium Piala Dunia Suwon pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!