Polis siasat hantaran di laman sosial disyaki hina Islam - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pemilik dan pengendali akaun Facebook yang disyaki mengeluarkan kenyataan menghina Islam di laman media sosial itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan berhubung perkara itu dibuat oleh seorang individu di Balai Polis Jalan Tun Razak di sini, malam tadi.

"Hasil penelitian yang dijalankan mendapati bahawa hantaran tersebut mengandungi unsur yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia dan mendatangkan kegusaran awam.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Razarudin berkata, semakan mendapati hantaran tersebut mendapat 42 perkongsian dan 270 komen selain akaun Facebook berkenaan didapati masih aktif.

Terdahulu, tular di laman media sosial mengenai hantaran disyaki mengeluarkan kenyataan kontroversi yang mencabar askar dan umat Islam di Malaysia ke Gaza selain menyindir kecaman yang diberikan terhadap Israel sebagai tidak bermakna.

Kenyataan itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak dan dianggap menyentuh sensitiviti agama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!