Mahsuri sasar edar 18,000 pek bubur lambuk dalam enam program agihan

PUTRAJAYA - Mahsuri Dagang Sdn Bhd (Mahsuri Dagang) menyasarkan untuk mengedarkan sebanyak 18,000 pek bubur lambuk menerusi enam program agihan juadah popular itu kepada masyarakat sempena Ramadan tahun ini.
Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, program agihan kali kelima telah dilaksanakan pada Jumaat dengan mengagihkan sebanyak 9,000 pek bubur lambuk kepada kakitangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menurutnya, ia merupakan program menerusi kerjasama Kelab Tani serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) KPKM.

"Hari ini, Mahsuri memberi sumbangan kewangan dan bahan-bahan untuk memasak dengan menggunakan sos berperisa tiram dan sos lemak manis untuk menyedapkan serta menambah keenakan bubur lambuk.
"Jumlah keseluruhan yang telah diagih pada hari ini ialah 9,000 pek untuk diagihkan kepada seluruh agensi di bawah KPKM dan ini merupakan program bubur lambuk kali kelima kita untuk tahun ini.
"Tahun ini, kami sasar untuk melaksanakan enam program bubur lambuk berbanding tahun lepas iaitu hanya tiga sahaja. Jadi, program agihan terakhir akan dibuat di salah sebuah masjid di Negeri Sembilan pada minggu hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Agihan Bubur Lambuk di pekarangan Dewan Serbaguna Wisma Tani, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak; Pengerusi Puspanita KPKM, Datin Seri Noor Laili Hamzah dan Ketua Hubungan Kerajaan Pembangunan Komuniti Mahsuri Dagang, Lailah Mohd Darus.
Mengulas lanjut, Mohd Jazri berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memartabatkan juadah popular itu dan secara tidak langsung merapatkan hubungan bersama masyarakat melalui agihan berkenaan.

"Banyak permintaan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak kementerian untuk kami datang membantu dalam program bubur lambuk yang mana ini menunjukkan ramai yang mula yakin dengan produk Mahsuri terutama dari segi halal.
"Secara tidak langsung, program seperti ini dapat merapatkan lagi Mahsuri dengan masyarakat yang mana ramai kakitangan KPKM terlibat dan sebelum ini kami membantu juga universiti awam khususnya pelajar.
"Dari segi kewangan, mungkin mereka tidak mempunyai pendapatan untuk menampung diri, jadi program CSR Mahsuri ini membantu juga golongan yang memerlukan," ujarnya.
Dalam pada itu, Isham berkata, program tersebut dilihat mendapat sambutan yang amat menggalakkan kira-kira 800 kakitangan daripada 14 jabatan KPKM sejak bermula jam 8.30 pagi lagi.

"Hari ini kita adakan juga tadarus al-Quran dan disusuli dengan slot ceramah yang kita jemput pendakwah selebriti, Zul Ramli Md Razali, jadi memberi peringatan kepada semua kakitangan mengenai perigal integriti dalam melaksanakan tugasan dalam kerajaan.
"Dalam program sama, kita selitkan juga agihan bubur lambuk dan beri bantuan kewangan kepada kakitangan untuk membantu meringankan beban mereka.
"Kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih terutama dengan penglibatan pihak NGO seperti Mahsuri yang turut membuat sumbangan sebagai salah satu usaha CSR mereka dan akhirnya menjayakan program hari ini," katanya.
Isham (tengah) dan Mohd Jazri (kanan) bergambar simbolik pengagihan bubur di pekarangan Dewan Serbaguna Wisma Tani, KPKM di sini pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

