Penerbangan pertama haji 29 April

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijadualkan pada 29 April depan.
Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, kumpulan terakhir jemaah yang akan berlepas ke tanah suci pula pada 30 Mei.
Menurutnya, penerbangan balik pertama pula dijadualkan pada 14 Jun sementara penerbangan balik terakhir pada 10 Julai.
"Setakat ini, kita telah mengeluarkan 51,000 surat tawaran kepada bakal jemaah haji dan daripada jumlah tersebut, 93 peratus telah menerima tawaran tersebut dan lulus pemeriksaan kesihatan.
"Ada baki tujuh peratus lagi untuk membuat pemeriksaan kesihatan, seterusnya menjawab tawaran sama ada menerima atau sebaliknya.
"TH turut menerima 84,000 rayuan dan permohonan berkenaan akan diproses selari jumlah kuota haji diterima Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di Menara TH, di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Husain dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH, Mustakim Mahamad.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan Arab Saudi belum memberi maklum balas mengenai permohonan Malaysia dalam mendapatkan tambahan kuota haji.
Jelasnya, keputusan permohonan itu kebiasaannya dimaklumkan antara pertengahan hingga akhir Syawal.
“Kita masih menunggu maklum balas Kerajaan Arab Saudi untuk memberi kuota tambahan (haji).
“Kita minta 10,000 kuota tambahan dengan perkara ini dibuat menerusi surat diutuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
"Sama ada diterima atau tidak, perkara itu bergantung kepada kebijaksanaan Kerajaan Arab Saudi dengan mempertimbangkan aspek keselamatan dan keselesaan jemaah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!