Harimau Malaya 100 peratus pemain lokal, impian besar Joehari

Joehari ketika menyantuni petugas media pada majlis berbuka puasa berkenaan. Foto Facebook FAM
Joehari ketika menyantuni petugas media pada majlis berbuka puasa berkenaan. Foto Facebook FAM
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, menggariskan visi bersama badan induk itu untuk mengurangkan kebergantungan Harimau Malaya terhadap pemain warisan dan naturalisasi pada masa depan.

Beliau bertekad memperkasakan semula program pembangunan bola sepak akar umbi dengan misi membentuk skuad Harimau Malaya yang dibarisi sepenuhnya oleh pemain tempatan.

"Sejujurnya, keutamaan saya adalah program pembangunan akar umbi. Impian saya adalah untuk melihat pasukan negara dibarisi pemain tempatan sepenuhnya.

"Kita dalam perancangan untuk memulakan jelajah ke seluruh negara bagi bertemu dengan ahli gabungan dalam merealisasikan visi ini.

"Kita akan mengadakan bengkel bersama persatuan negeri bagi menggerakkan program pembangunan yang dirancang. Kita juga akan berusaha mendapatkan sokongan penuh kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk inisiatif ini.

"Bagaimanapun, buat masa ini, pengambilan pemain warisan atau naturalisasi masih diperlukan untuk memperkuatkan cabaran Harimau Malaya dalam jangka masa pendek," katanya semasa majlis berbuka puasa FAM bersama media di sebuah restoran di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski kini dalam persiapan menghadapi perlawanan Kumpulan F Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Selasa depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!