Peniaga perlu utamakan nilai Islam berbanding keuntungan

Dalam Islam, keberkatan rezeki bukan hanya diukur dari segi jumlah keuntungan tetapi juga ketenangan jiwa, hubungan baik dengan pelanggan, dan kemudahan dalam urusan perniagaan.(Foto Bernama) Gambar kecil: Nurulazma Shafiqah
Dalam Islam, keberkatan rezeki bukan hanya diukur dari segi jumlah keuntungan tetapi juga ketenangan jiwa, hubungan baik dengan pelanggan, dan kemudahan dalam urusan perniagaan.(Foto Bernama) Gambar kecil: Nurulazma Shafiqah
A
A
A

SHAH ALAM - Kezaliman dalam perniagaan kerap berlaku apabila peniaga lebih mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan nilai-nilai Islam.

Usahawan studio dan fotografi, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar berkata, antara bentuk kezaliman yang sering berlaku termasuk meletakkan harga tidak munasabah, menyembunyikan kecacatan produk, serta menekan pekerja dengan gaji rendah dan beban kerja berlebihan.

Menurutnya, faktor utama yang mendorong kepada amalan tersebut adalah ketamakan serta kurangnya kesedaran agama dalam kalangan peniaga.

“Peniaga sering berdepan tekanan untuk mengekalkan keuntungan, menyebabkan ada yang sanggup mengabaikan etika demi kelangsungan perniagaan.

“Persaingan tidak sihat seperti menipu harga atau meniru produk turut memberi kesan kepada peniaga jujur yang mahu mengamalkan perniagaan secara Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Nurulazma Shafiqah, yang juga Presiden Persatuan Asrama Belia Malaysia Negeri Sembilan, menegaskan bahawa masih ramai peniaga tidak memahami konsep jual beli halal secara mendalam, menyebabkan mereka tidak sedar akan kesalahan yang dilakukan.

“Dalam Islam, keberkatan rezeki bukan hanya diukur dari segi jumlah keuntungan tetapi juga ketenangan jiwa, hubungan baik dengan pelanggan, dan kemudahan dalam urusan perniagaan.

“Kejujuran dalam jual beli akan menarik lebih ramai pelanggan yang percaya kepada integriti perniagaan, sekali gus memberi keuntungan berkekalan,” ujarnya.

Tambahnya, perniagaan berlandaskan Islam bukan sekadar label atau slogan tetapi perlu dipraktikkan dalam setiap aspek, termasuk penetapan harga yang adil, kebajikan pekerja, serta urus niaga yang telus.

Artikel Berkaitan:

“Hanya dengan menegakkan keadilan dan keberkatan, peniaga Muslim boleh mencapai kejayaan yang berkekalan serta mendapat rahmat dan keberkatan daripada ALLAH SWT,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!