Microsoft beri jaminan mengenai cip AI termaju, komited berkembang di Malaysia

PELAKSANAAN infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Malaysia kekal di landasan yang betul walaupun terdapat kebimbangan mengenai gangguan dalam bekalan cip AI termaju, menurut Microsoft.
Syarikat itu dalam sidang akhbar pada Khamis berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan berkaitan sekatan eksport Amerika Syarikat ke atas teknologi semikonduktor, namun operasinya di Malaysia tidak terjejas.
"Kami sedang memantau keadaan ini. Pada ketika ini, semuanya kekal seperti biasa untuk kami," kata Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si.
Beliau berkata, pelaburan Microsoft di Malaysia termasuk pelancaran wilayah awan yang akan datang, berjalan seperti yang dirancang.
"Kami komited untuk melaksanakan perkhidmatan AI dan infrastruktur digital kami mengikut jadual selain memastikan Malaysia mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi terkini," katanya.
Kebimbangan mengenai bekalan cip AI semakin meningkat susulan pengumuman Microsoft mengenai cip Azure Cobalt 100 mereka yang direka untuk meningkatkan keupayaan AI.
Ditanya sama ada wilayah awan Malaysia akan menggunakan cip AI terkini, Si berkata, Microsoft sedang menilai permintaan pasaran.
"Jika ada permintaan pasaran untuknya, ia akan dimasukkan ke dalam rangka kerja dan jadual untuk Malaysia," katanya.
Beliau berkata, sudah terdapat minat industri terhadap cip pada papan induk yang dioptimumkan untuk AI seperti Cobalt. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!