Aiman bukti autisme bukan halangan capai impian

Aiman menggunting rambut salah seorang pelanggan di Crown Barbershop, Bandar Saujana Putra.
Aiman menggunting rambut salah seorang pelanggan di Crown Barbershop, Bandar Saujana Putra.
A
A
A

SHAH ALAM – Menghidap autisme ringan sejak usia enam tahun tidak menjadi penghalang buat Aiman Nurhakim Jeffry, 25, untuk mengejar impiannya dalam bidang gunting rambut.

Kini, Aiman bekerja sebagai tukang gunting rambut di Crown Barbershop, Bandar Saujana Putra sejak November tahun lalu.

Bapanya, Jeffry Ahmad, 52, berkata, minat anak sulung daripada tiga beradik itu mula terserlah sejak tahun 2018.

"Bagi menggilap bakat Aiman dalam bidang ini, dia mula menyertai kursus dan menjalani latihan praktikal secara langsung.

"Kini, Aiman mampu menggunting rambut dengan baik dan saya yakin dia boleh berjaya dalam bidang yang sangat diminatinya ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Jeffry turut berkongsi bahawa setiap hari, Aiman yang menetap bersama neneknya di Puchong akan menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke tempat kerja di Bandar Saujana Putra.

Aiman bercita-cita memiliki kedai gunting rambut yang dilengkapi kafe dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Aiman bercita-cita memiliki kedai gunting rambut yang dilengkapi kafe dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Dia bersemangat dan sentiasa teruja setiap kali hendak ke tempat kerja. Saya berbangga kerana Aiman membuktikan bahawa dengan kesungguhan dan dorongan yang tepat, tiada impian yang mustahil untuk dicapai," katanya.

Menurut Jeffry, Aiman turut memasang impian besar untuk memiliki kedai gunting rambut yang dilengkapi kafe dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Saya yakin, jika dia terus berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh, segala yang diimpikan mampu dicapai.

"Sebagai ibu bapa, kami sentiasa memberikan galakan dan semangat kepada Aiman untuk mengejar cita-citanya.

"Kami juga berterima kasih atas segala jasa baik guru serta mentor yang merupakan rakan kerja kerana membimbing dan memahami Aiman.

"Buat masa ini, biarlah dia menimba pengalaman dan meningkatkan kemahiran terlebih dahulu sebelum melangkah ke dunia keusahawanan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!