Lelaki didakwa bakar, bunuh ibu tiga anak

BATU PAHAT – [DIKEMAS KINI] Seorang pekebun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu atas pertuduhan membunuh kenalan wanita yang juga merupakan ibu tiga anak minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Firdaus Baktehir, 29, hanya menundukkan kepala ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Das.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31, pada kira-kira jam 5 petang di Kampung Baru Sri Gading, Batu Pahat pada minggu lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun.
Jika tidak dihukum mati hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syeikh Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan forensik.
Dalam kejadian 5 petang Sabtu minggu lalu, wanita yang juga ibu kepada tiga anak melecur 74 peratus selepas rumahnya terbakar.
Siasatan mendapati kejadian berlaku selepas mangsa dan suspek berselisih faham sebelum lelaki itu mengambil petrol lalu membakar rumah terbabit.
Mangsa yang parah terpaksa ditidurkan, namun pada jam 9.54 malam, keesokan harinya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bertukar kepada 302 kanun sama.
Pada masa sama, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 426 kanun sama kerana khianat dengan api.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

