Lelaki terjatuh ketika pukat ikan dikhuatiri lemas

Pasukan bomba memulakan operasi SAR selepas menerima maklumat lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh sungai di Sungai Siput. Foto ihsan Bomba Perak
Pasukan bomba memulakan operasi SAR selepas menerima maklumat lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh sungai di Sungai Siput. Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pelus di Kampung Kuala Chenein, Lasah, pada Selasa.

Difahamkan, mangsa, Amran Ahin, 43, bersama anak lelakinya berusia lapan tahun turun ke sungai untuk memasang pukat sebelum kedua-duanya terjatuh.

Kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian, manakala mangsa terus dihanyutkan arus deras.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput diatur gerak ke lokasi selepas menerima maklumat pada jam 9.34 malam.

Operasi SAR diaktifkan selepas menerima maklumat seorang lelaki dihanyutkan arus ketika memukat ikan di Sungai Pelus, Kampung Kuala Chenein, Sungai Siput pada Rabu. Foto ihsan Bomba Perak
Operasi SAR diaktifkan selepas menerima maklumat seorang lelaki dihanyutkan arus ketika memukat ikan di Sungai Pelus, Kampung Kuala Chenein, Sungai Siput pada Rabu. Foto ihsan Bomba Perak

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada Rabu dengan pencarian dilakukan menggunakan sebuah bot dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

"Kaedah carian dilakukan di permukaan kiri dan kanan tebing sungai, mengikut aliran sungai, serta selaman pada lokasi yang dikenal pasti bersama anggota polis dan orang awam.

"Operasi pencarian juga akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan setakat ini, mangsa masih belum dijumpai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, operasi SAR dibantu oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Kuala Kangsar dan BBP Ipoh serta Unit Anjing Pengesan (K9).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!