15 warga Bangladesh menyamar atlet pasukan kriket ditahan di KLIA

SEPANG – Cubaan 15 lelaki warga Bangladesh menyelinap masuk ke Malaysia dengan menyamar sebagai pasukan kriket gagal apabila mereka ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin.
AKPS dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa kumpulan tersebut cuba mengaburi pegawai bertugas dengan memakai pakaian sukan kriket dan mengemukakan surat jemputan kejohanan.
"Namun, siasatan mendapati surat tersebut palsu. Tiada sebarang kejohanan kriket dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 23 Mac seperti yang didakwa.
"Lebih mencurigakan, mereka cuba mendapatkan seorang ‘penaja’ sebagai penjamin. Namun, individu yang hadir mengaku tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kejohanan itu dan hanya bertindak sebagai wakil syarikat," katanya.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan mereka adalah pemain kriket, dipercayai sebahagian daripada sindiket penyamaran untuk masuk ke Malaysia atas tujuan lain.
AKPS telah mengambil tindakan Not to Land (NTL) terhadap kesemua mereka dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peraturan imigresen yang berkuatkuasa.
AKPS turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana individu atau sindiket yang cuba menyalahgunakan visa sukan untuk tujuan lain seperti bekerja secara tidak sah atau pemerdagangan manusia.
"Langkah ini bagi memastikan keselamatan serta integriti sistem imigresen negara terus terpelihara," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!