Pembayar zakat fitrah beras import meningkat

Mohamad Azmi (tengah) melihat seorang murid mengenakan baju raya pada program itu.
Mohamad Azmi (tengah) melihat seorang murid mengenakan baju raya pada program itu.
A
A
A

MELAKA - Pembayar zakat fitrah bagi pengguna beras jenis Super Import dan beras basmati di negeri ini merekodkan peningkatan setakat 17 Ramadan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, pihaknya tidak menolak peningkatan kira-kira lebih 20 peratus bagi kedua-dua jenis beras itu disebabkan faktor trend pembelian gred beras yang lebih baik.

Menurutnya, kemungkinan juga kerana ketiadaan dan kesukaran mereka mendapatkan beras tempatan di pasaran yang membawa kepada peningkatan bayaran zakat bagi beras import dan beras basmathi.

"Tahun ini kadar zakat fitrah RM15 bagi beras super import dan RM22 untuk beras basmathi yang mencatatkan peningkatan bagi pembayar zakat.

"Kita memang menggalakkan umat Islam membayar kadar zakat fitrah mengikut beras yang dimakan, namun jika ada yang makan beras tempatan namun ingin membayar lebih kita alu-alukan," katanya.

Mohamad Azmi dan Rahmad (tengah) bergambar bersama sebahagian murid yang diraikan pada program itu di Taman Bukit Piatu Mutiara, di Melaka, pada Selasa.
Mohamad Azmi dan Rahmad (tengah) bergambar bersama sebahagian murid yang diraikan pada program itu di Taman Bukit Piatu Mutiara, di Melaka, pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada program Tautan Kasih Ramadan Busana Aidilfitri Asnaf anjuran Zakat Melaka yang disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman di Taman Bukit Piatu Mutiara, di sini, pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat.

Tambahnya, peningkatan itu mampu mencapai sasaran kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.5 juta pada tahun ini berbanding RM6.3 juta tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kira-kira 70 peratus daripada 700,000 umat Islam di Melaka lebih gemar membuat bayaran zakat secara bersemuka dengan 1,078 amil syarak yang dilantik berbanding secara dalam talian.

"Namun terpulang kepada mereka, cara atau kaedah yang lebih selesa, sesuai dan mudah untuk melunaskan bayaran zakat fitrah," ujarnya lagi.

Program yang disertai 42 buah sekolah rendah sekitar Melaka berjaya meraikan seramai 210 murid-murid terdiri daripada fakir, miskin dan yatim dengan pembelian baju dan duit raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!