Lagi RM14.6 juta wang 1MDB dikembalikan

1Malaysia Development Berhad.
1Malaysia Development Berhad.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Sejumlah aset berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM14,670,676.61 telah berjaya dipulihkan dan dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan memaklumkan, ia sekali gus menjadikan jumlah pemulihan aset 1MDB keseluruhan setakat ini adalah sebanyak RM29,752,034,475.13, iaitu 70 peratus daripada RM42 bilion yang dipercayai telah diselewengkan.

"Peratusan ini mencatatkan kadar pemulihan yang sangat tinggi berbanding dengan kadar pemulihan aset global hasil daripada usaha bersepadu antara agensi penguatkuasaan dan kolaborasi antarabangsa," katanya pada Isnin.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, RM14,670,676.61 itu melibatkan empat mata wang asing, iaitu SGD berjumlah 1,388,122.52; 85,868.53 (AS$); 344,163.76 (NZD); dan 3,181,097.67 (AUD).

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM12,974,730.41 telah dikembalikan kepada kerajaan hasil daripada penjualan hartanah serta pemindahan dana daripada akaun syarikat Tan Kim Loong, seorang warganegara Malaysia yang dikaitkan dengan Low Taek Jho," jelas SPRM.

Menurut suruhanjaya itu, sejumlah RM1,695,946.20 telah dipulihkan daripada bekas pegawai bank warga Singapura, Yak Yew Chee, yang telah disabitkan dengan kesalahan penglibatan dalam kes 1MDB.

"Pemindahan dana dari Kim Loong ke Akaun Amanah Pemulihan Aset di bawah Kementerian Kewangan (MoF) telah berlaku pada 18 Februari, 7 Mac dan 10 Mac tahun ini, sementara dana dari Yew Chee dikreditkan pada 21 Januari lalu," katanya.

Justeru, kejayaan pemulihan aset berkenaan membuktikan keupayaan serta komitmen berterusan SPRM dalam membawa pulang aset yang diseleweng.

Artikel Berkaitan:

Ia juga mencerminkan keberkesanan kerjasama antara SPRM dan Commercial Affairs Department (CAD) Singapura dalam memerangi rasuah serta pengubahan wang haram.

"SPRM akan terus komited dalam usaha mendapatkan semula aset negara yang diseleweng serta bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa dalam menangani kes-kes berkaitan rasuah dan jenayah kewangan," katanya.

1Malaysia Development Berhad atau dikenali sebagai 1MDB adalah sebuah syarikat pelaburan strategik milik kerajaan Malaysia yang ditubuhkan pada 2009 di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Syarikat ini bertujuan untuk menarik pelaburan asing dan membangunkan projek infrastruktur negara.

Bagaimanapun, 1MDB menjadi skandal kewangan terbesar Malaysia apabila berbilion ringgit dipercayai telah diselewengkan melalui transaksi meragukan ke akaun individu dan syarikat tertentu.

Skandal ini turut mendapat perhatian antarabangsa, termasuk penyiasatan oleh Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan beberapa negara lain.

Pada 20 September 2018, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Pada Julai 2020, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan pemindahan dana daripada 1MDB ke akaun peribadinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!