Dua warga India didakwa rogol pelancong Jerman di Koh Phangan

BANGKOK - Dua lelaki warga India telah didakwa secara rasmi atas kesalahan merogol seorang pelancong wanita dari Jerman berusia 24 tahun pada awal pagi Jumaat, sehari selepas menghadiri 'Full Moon Party' di Koh Phangan, wilayah Surat Thani.
Insiden berlaku sekitar jam 4.50 pagi waktu tempatan di kawasan berbatu Pantai Haad Rin.
Mangsa kemudian membuat laporan polis, namun mengakui sukar mengenal pasti suspek kerana berada dalam keadaan mabuk semasa kejadian.
Hasil siasatan polis kemudiannya membawa kepada penahanan Vijay Dadasaheb, 47, dan Rahul Balasaheb, 40, pada malam Sabtu.
Menurut Ketua Balai Polis Koh Phangan, Kolonel Apichart Chansamret, Dadasaheb mengaku melakukan jenayah itu, manakala Balasaheb menafikan dakwaan tersebut.
"Balasaheb mendakwa dia tidak merogol wanita tersebut, sebaliknya hanya memeluk dan mencium pipinya sebelum mangsa menolak. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan," kata Kolonel Apichart pada Ahad.
Kedua-dua lelaki itu dikehendaki selepas Mahkamah Wilayah Koh Samui mengeluarkan waran tangkap pada Sabtu atas tuduhan bersekongkol merogol secara paksaan terhadap mangsa yang berada dalam keadaan tidak berdaya.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara empat hingga 20 tahun serta denda antara 80,000 Baht (RM10,560) hingga 400,000 Baht (RM52,800). -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!