Mayat lelaki tanpa pakaian ditemui terapung di Sungai Alor Merah

Mayat lelaki tanpa berpakaian ditemui terapung di Sungai Alor Merah, Alor Setar pada Ahad. - Foto tular
Mayat lelaki tanpa berpakaian ditemui terapung di Sungai Alor Merah, Alor Setar pada Ahad. - Foto tular
A
A
A

ALOR SETAR – Mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak berpakaian ditemui terapung di Sungai Alor Merah di sini pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.31 pagi selepas dihubungi orang awam.

Menurutnya, sebaik menerima makluman, sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati mayat dipercayai seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak berpakaian, terapung di Sungai Alor Merah, dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mereput.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui, dan setakat ini identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mayat tersebut kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Siti Nor Salawati turut meminta kerjasama orang ramai atau mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh terdekat supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membantu proses pengecaman mayat.

Pada masa sama, beliau menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan mayat berkenaan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran awam.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar atau mana-mana balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!