'Islam larang hina agama lain, boleh cetus tindak balas negatif' - Mohd Na'im

Mohd Na'im (tengah) menyantuni guru pondok semasa turun ziarah Mudir Pondok Mustaq Sungai Jagong, Abdul Rahim Abdul Rahman di Pendang pada petang Sabtu.
Mohd Na'im (tengah) menyantuni guru pondok semasa turun ziarah Mudir Pondok Mustaq Sungai Jagong, Abdul Rahim Abdul Rahman di Pendang pada petang Sabtu.
A
A
A

PENDANG - Sebarang bentuk penghinaan terhadap agama khususnya Islam tidak boleh dibiarkan dan perlu diambil tindakan tegas bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, penghinaan agama bukan sahaja melanggar prinsip perpaduan tetapi juga boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama bagi memastikan pihak yang terlibat dalam kes penghinaan agama dibawa ke muka pengadilan.

"Masyarakat Islam diingatkan untuk merenungi ayat Al-Quran yang menegaskan larangan menghina agama lain kerana ia boleh mencetuskan tindak balas negatif terhadap Islam," katanya pada petang Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi Mudir Pondok Mustaq Sungai Jagong, Abdul Rahim Abdul Rahman di sini.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira agama mana yang dihina kerana mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan dalam masyarakat perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka.

"Kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk menimbulkan ketegangan dalam negara. Keselamatan dan kestabilan Malaysia perlu diutamakan," katanya.

Tambah beliau, dalam usaha mengekalkan perpaduan, masyarakat Islam dan bukan Islam perlu berganding bahu serta memahami kepentingan menghormati kepercayaan masing-masing.

Beliau turut menyeru golongan ulama, guru pondok dan asatizah agar memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu melihat Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni. Oleh itu, peranan pendakwah dan ilmuwan sangat penting dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga sensitiviti agama," katanya.

Jelas beliau, masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada golongan ilmuwan untuk memberikan bimbingan dan mendidik umat agar sentiasa berpegang kepada ajaran Islam yang menitikberatkan sikap hormat-menghormati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!