Pesalah rasuah wajar ditarik kerakyatan

SHAH ALAM – Pesalah jenayah rasuah wajar ditarik kerakyatan sebagai pengajaran kepada umum.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M. Sharib berkata, individu yang terlibat dalam rasuah boleh dianggap sebagai pengkhianat negara.
Menurutnya, perbuatan tersebut bukan sahaja membahayakan keselamatan negara tetapi juga mencemarkan imej pentadbiran.
“Isu rasuah pada masa ini amat membimbangkan. Ia seolah-olah telah meresap dalam masyarakat kita hari ini.
“Jenayah ini perlu ditangani segera sebelum membawa kesan lebih buruk. Oleh itu, usaha berterusan diperlukan untuk membanteras amalan rasuah.
“Pemantauan pihak berwajib juga harus lebih agresif dan berterusan bagi memastikan setiap individu yang menjalankan tugas memiliki integriti serta mengutamakan kepentingan awam,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 12 individu yang disyaki terlibat dalam kes rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara serta penggunaan dokumen sokongan palsu.
Perintah reman selama empat dan lima hari, sehingga Sabtu dan Ahad, dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an dan 40-an selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
Sementara itu, 10 lagi suspek, terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an, direman selama lima hari sehingga Ahad selepas Majistret Ameera Mastura Khamis membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Tambah Hamdan Daniel, kerajaan juga perlu memperkenalkan teknologi canggih bagi membanteras rasuah secara lebih efisien dan mampan.
“Penggunaan teknologi diharap dapat mengurangkan ketirisan kerana jenayah rasuah bukan sahaja memalukan, malah membawa padah kepada kesejahteraan negara.
“Rakyat akan terus memerhati dan meletakkan harapan tinggi kepada pihak berwajib untuk membasmi rasuah di semua jabatan dan lapisan masyarakat.
“Semoga Malaysia bebas daripada rasuah. Marilah kita bersama memeranginya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

