Pekerja kilang maut bertembung motosikal polis

Seorang pekerja kilang maut selepas bertembung dengan kenderaan anggota polis yang menjalankan tugas mengiring di Selama pada Khamis. Foto: Ihsan Pembaca
Seorang pekerja kilang maut selepas bertembung dengan kenderaan anggota polis yang menjalankan tugas mengiring di Selama pada Khamis. Foto: Ihsan Pembaca
A
A
A

LARUT - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kilometer 5.6, Jalan Kubu Gajah - Selama, pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar jam 6.20 petang itu, Mohd Saharil Sahfiq Samat, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Seorang anggota trafik berusia 33 tahun yang menunggang motosikal berkuasa tinggi ketika bertugas mengiringi kenderaan Timbalan Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat, turut mengalami kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan.

"Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa memasuki laluan anggota trafik terbabit, lalu berlaku pertembungan.

"Pelanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah. Seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya pada Jumaat.

Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Selama untuk proses bedah siasat.

"Anggota trafik yang cedera mengalami patah tangan kanan dan kecederaan pada muka telah dirawat di hospital sama. Beliau kini disahkan berada dalam keadaan stabil.

"Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!