Dua lelaki diberkas seludup minyak sawit mentah

SEREMBAN – Rondaan pemantauan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) membongkar kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah selepas menahan sebuah lori di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada Rabu.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi yang dijalankan oleh Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman itu bermula pada jam 10 pagi hingga 11 malam.
"Bertindak atas maklumat awam, kita mengesan dua lelaki yang menaiki sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui empat tong di dalam lori itu, di mana satu daripadanya mengandungi anggaran 900 kilogram minyak sawit mentah tanpa sebarang dokumen sah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Yusri berkata, pihaknya menahan dua lelaki itu serta mengeluarkan 13 saman atas pelbagai kesalahan, selain turut merampas lori berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!