SKMM siasat, rakam percakapan individu muat naik kandungan 3R

SKMM merakam percakapan lelaki disyaki memuat naik kandungan berunsur 3R di Taiping, Perak.
SKMM merakam percakapan lelaki disyaki memuat naik kandungan berunsur 3R di Taiping, Perak.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat seorang lelaki tempatan yang disyaki memuat naik kandungan palsu berunsur agama, kaum, dan institusi diraja (3R) yang menyentuh sensitiviti agama.

SKMM berkata, individu berusia 47 tahun itu dipercayai muat naik kandungan berkenaan menerusi laman aplikasi Facebook miliknya pada Ahad lalu yang mendakwa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning tidak lagi dibenarkan ketika ini.

“Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Balai Polis Taiping, Perak pada Rabu. Sebuah telefon bimbit dan satu sim kad juga telah disita bagi tujuan analisis forensik.

“Pasukan Penguatkuasa MCMC telah menyerahkan satu notis kehadiran di bawah seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada individu terbabit bagi menghadiri sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan SKMM, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“MCMC ingin menasihatkan kepada orang ramai agar menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum serta agama di negara ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!