Warga emas cedera langgar anak gajah di Mersing

Keadaan kereta selepas terlanggar seekor gajah di jalan Kahang-Nitar, Mersing.
Keadaan kereta selepas terlanggar seekor gajah di jalan Kahang-Nitar, Mersing.
A
A
A

MERSING - Seorang lelaki warga emas cedera selepas kenderaan dipandunya terlanggar seekor anak gajah di Kilometer 30, Jalan Nitar-Mersing, pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian kira-kira jam 9 malam itu membabitkan mangsa lelaki warga tempatan berusia 70 tahun yang memandu Toyota Altis.

"Mangsa dari arah Kluang ke Mersing sebelum melanggar haiwan liar berkenaan yang sedang melintas bersama sekumpulan gajah lain.

"Akibat perlanggaran itu, pemandu kenderaan tersepit sebelum diselamatkan pengguna jalan raya lain.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher serta pergelangan tangan kiri dan kini masih menerima rawatan di Hospital Kluang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pihak polis telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mersing, yang kemudian menguruskan bangkai anak gajah tersebut.

Sebelum itu, video kejadian kemalangan berkenaan turut tular di Facebook yang memaparkan bangkai gajah di tepi jalan.

Seorang pengguna memaklumkan laluan berkenaan kerap dilalui hidupan liar dan menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak memandu laju di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!