KDN kaji model kerjasama antarabangsa tangani pencerobohan nelayan Vietnam

KLANG – [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji model kerjasama antarabangsa seperti perjanjian antara Kesatuan Eropah dan Maghribi dalam eksplorasi hasil laut dalam bagi menyelesaikan isu pencerobohan nelayan warga Vietnam di perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan Perdana Menteri Vietnam dalam lawatan rasmi beberapa bulan lalu dan kedua-dua negara bersetuju untuk mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.
Menurutnya, jumlah nelayan laut dalam dari Vietnam yang memasuki perairan Malaysia adalah terlalu besar dan menimbulkan kebimbangan.
"Menerusi penguatkuasaan, Maritim Malaysia menangkap mereka, menjalankan siasatan dan membawa kes ke mahkamah manakala kapal yang dirampas dimusnahkan.
"Kedua-dua pemimpin telah bersetuju untuk bekerjasama dalam eksplorasi perikanan laut dalam bagi mencapai penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak," katanya dalam sidang akhbar Tinjauan Penguatkuasaan Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di Pusat Hidrografi Nasional, di sini pada Rabu.
Turut hadir Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohamad Rosli Abdullah, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan bahawa Perdana Menteri juga telah mengadakan kunjungan balas ke Vietnam dan isu berkenaan turut dibincangkan serta menunjukkan beberapa perkembangan positif.
Beliau menambah, Sepanyol merupakan antara negara yang telah memanfaatkan perjanjian serupa dan KDN kini meneliti model tersebut dari segi pengoperasian bersama serta aspek lain.
"Kajian di peringkat KDN sedang dijalankan sementara menunggu keputusan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mengetuai isu ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
