Video masakan tanpa 'filter' Kak Cik Yah imbau nostalgia

Antara video Kak Cik Yah yang mendapat perhatian netizen
Antara video Kak Cik Yah yang mendapat perhatian netizen
A
A
A

SHAH ALAM - Nama pempengaruh popular, Khairul Aming cukup sinonim dengan video masakannya yang ringkas, berkualiti dan menarik minat masyarakat untuk meneroka resipi masakan baharu terutama menjelang bulan Ramadan.

Namun begitu, video memasak warga emas @kakcikyah4 atau dipanggil Kak Cik Yah mendapat perhatian netizen kerana gelagat dan nada suaranya yang tidak ubah seperti percakapan seorang nenek kepada cucunya.

Apa yang menarik perhatian ramai, Kak Cik Yah dilihat bersahaja berkongsikan resipi dan menunjukkan cara membuat sesuatu bahan dari awal sehingga akhir.

Gaya warga emas itu yang santai dan bersahaja membuatkan orang ramai terhibur dengan 'kecomelannya' ketika memasak.

Berbeza dengan pempengaruh lain yang memaparkan video berkualiti tinggi, penataan bunyi yang baik dan menggunakan pelbagai aplikasi, video 'asli' yang dimuat naik oleh Kak Cik Yah yang tidak disunting dan ditapis membuatkan warganet mengimbau datuk dan nenek masing-masing.

Kak Cik Yah mengajar cara masakan menerusi hantaran di videonya
Kak Cik Yah mengajar cara masakan menerusi hantaran di videonya

Menerusi ruangan komen di salah satu video Kak Cik Yah, rata-rata warganet memuji warga emas itu dalam berkongsi resipi masakan sambil berceloteh secara santai.

Salah seorang pengguna TikTok, @nur_kael berkata, gaya Kak Cik Yah mengingatkannya dengan arwah neneknya yang telah meninggal dunia.

“Air tangan orang-orang tua ini biasanya memang sedap. Rindu arwah nenek saya,” katanya menerusi ruangan komen pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengguna TikTok, @ahmadfshahar turut akui terhibur dengan perkongsian warga emas itu.

“Saya terhibur walaupun jenuh mata fokus pada makanan kerabu mangga itu. Terbaik Tok,” ujarnya.

Sementara itu, pengguna TikTok, @kakyana03 mendoakan semoga Kak Cik Yah dimurahkan rezeki atas usahanya berkongsi rezeki pada orang ramai.

“Comelnya Tok. Murah rezeki Tok berkongsi resepi,” menurutnya.

Video masakan Kak CIk Yah juga telah menambat hati penonton, sehingga kini akaun TikTok Kak Cik Yah telah meraih lebih 86.7K jumlah pengikut dan majoriti videonya meraih sekurang-kurangnya puluhan dan ratusan ribu jumlah tontonan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!