Polis rampas karkas babi seludup bernilai RM375,000

Polis menemui 90 keping karkas babi yang dipercayai diseludup dari negara jiran dalam sebuah lori di Taman Industri Jaya, Skudai, Jumaat lalu.- Foto: IPD Iskandar Puteri
Polis menemui 90 keping karkas babi yang dipercayai diseludup dari negara jiran dalam sebuah lori di Taman Industri Jaya, Skudai, Jumaat lalu.- Foto: IPD Iskandar Puteri
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki ditahan selepas polis menemui 90 keping karkas babi yang dipercayai diseludup dari negara jiran dalam sebuah lori di Taman Industri Jaya, Skudai, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, serbuan dilakukan bersama Jabatan Veterinar negeri pada jam 11.10 malam.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 90 keping karkas babi bersamaan 45 ekor babi ditemui dalam lori terbabit. Polis turut merampas sebuah lori dan serangkai kunci dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM375,000.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan yang sah. Jabatan Veterinar juga mengesahkan karkas babi itu bukan dari rumah sembelihan yang diluluskan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, suspek berusia 33 tahun dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar Johor untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 di bawah Akta Binatang 1953 yang melarang penjualan atau pemilikan karkas binatang yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang sah.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000.

“Polis akan terus komited membanteras aktiviti penyeludupan. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 / 07-5114486,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!