Korban ribut ganas cecah 15 orang di Selatan Argentina

Seorang lelaki membersihkan jalan di sebelah kereta-kereta yang rosak sehari selepas ribut kuat melanda Bahia Blanca, 600km di selatan Buenos Aires. Foto AFP
Seorang lelaki membersihkan jalan di sebelah kereta-kereta yang rosak sehari selepas ribut kuat melanda Bahia Blanca, 600km di selatan Buenos Aires. Foto AFP
A
A
A

BUENOS AIRES - Angka korban akibat ribut ganas yang melanda bandar pelabuhan selatan Argentina, Bahia Blanca, pada Jumaat telah meningkat kepada 15 orang, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad, lapor Xinhua.

Datuk Bandar Bahia Blanca, Federico Susbielles berkata, jumlah kematian mungkin lebih tinggi disebabkan oleh magnitud fenomena meteorologi yang melanda bandar itu dan kawasan sekitarnya.

Beliau menambah bahawa semua aktiviti telah ditangguhkan, dan penduduk tempatan diminta untuk kekal di rumah.

Menurut kemas kini daripada pihak berkuasa perbandaran Bahia Blanca, sekurang-kurangnya 1,450 orang telah dipindahkan setakat ini, manakala 100 orang lagi dilaporkan hilang.

Orang ramai membawa barangan berjalan meredah air banjir sehari selepas ribut kuat melanda Bahia Blanca. Foto Agensi
Orang ramai membawa barangan berjalan meredah air banjir sehari selepas ribut kuat melanda Bahia Blanca. Foto Agensi

Kerajaan Argentina telah mengatur operasi bantuan dan pemindahan yang melibatkan kementerian pertahanan dan keselamatan serta kerajaan wilayah Buenos Aires.

Ribut hujan pada hari Jumaat itu merupakan yang paling dahsyat dalam sejarah bandar tersebut, memecahkan rekod jumlah hujan yang dicatatkan pada Mac 1933, menurut data rasmi. - Bernama/Xianhua

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!