Amaran hujan lebat, ribut petir di beberapa negeri

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga jam 7 malam ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, cuaca buruk itu melibatkan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
Kawasan yang dijangka terjejas antaranya Kuala Krai dan Gua Musang (Kelantan), Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman (Terengganu), Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera (Pahang) serta beberapa daerah di Selangor termasuk Kuala Selangor, Klang, Gombak dan Petaling.
Sementara itu, lokasi lain ialah Jempol dan Tampin (Negeri Sembilan), beberapa kawasan di Sarawak seperti Sri Aman, Sarikei, Mukah, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang serta bahagian pedalaman Sabah termasuk Sipitang, Tenom, Nabawan dan Tawau turut dijangka mengalami keadaan cuaca buruk.
Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan mengelakkan aktiviti luar terutama di kawasan rendah yang berisiko banjir kilat.
Pengguna jalan raya juga diingatkan untuk lebih berhati-hati semasa memandu dalam keadaan cuaca hujan lebat dan jalan licin.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

