Kutipan hasil Maqis naik RM79 juta

Haslina sambil diiringi Siful Yazan menyampaikan APC kepada warga Maqis pada majlis di Dewan Serbaguna MOA, Putrajaya.
Haslina sambil diiringi Siful Yazan menyampaikan APC kepada warga Maqis pada majlis di Dewan Serbaguna MOA, Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mempamerkan prestasi cemerlang apabila mencatatkan peningkatan kutipan hasil sebanyak RM79 juta pada tahun lalu berbanding RM70 juta pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarahnya, Saiful Yazan Alwi berkata, pada awalnya Maqis meletakkan sasaran untuk mengumpul hasil sebanyak RM100 juta, namun pada suku pertama tahun lalu, hasil ikan ditetapkan bukan lagi berada di bawah bidang kuasa mereka, tetapi di bawah Jabatan Perikanan menyebabkan mereka dianggarkan kehilangan hasil sebanyak RM20 juta.

"Kalau campur dengan nilai RM79 juta, jumlah hasilnya adalah RM99 juta dan ia menghampiri sasaran RM100 juta yang kita letakkan dari awal.

"Dengan prestasi itu kita tetapkan sasaran tahun ini untuk kutip hasil lebih tinggi iaitu sebanyak RM82 juta dan kita yakin ia mampu dicapai," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 di Dewan Serbaguna Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di sini semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Haslina Abdul Hamid yang menyampaikan APC kepada seramai 34 warga Maqis terdiri daripada 26 orang dari skim penguat kuasa dan lapan orang bukan dari skim penguat kuasa.

Kutipan hasil diperoleh Maqis daripada nilai pengeluaran permit konsainan import dan eksport produk agromakanan di pintu-pintu masuk negara ini.

Mengulas lanjut, Saiful Yazan berkata, ada beberapa pintu masuk sebelum ini tidak pernah membuat kutipan hasil namun bermula tahun lalu kutipan hasil mula dibuat yang secara langsung turut mempengaruhi peningkatan kutipan hasil.

Artikel Berkaitan:

Haslina menyampaikan Kad Prestasi Maqis kepada Saiful Yazan pada Majlis APC 2019 di Dewan SerbagunaMOA, Putrajaya.
Haslina menyampaikan Kad Prestasi Maqis kepada Saiful Yazan pada Majlis APC 2019 di Dewan SerbagunaMOA, Putrajaya.

Katanya, 2020 memberi permulaan yang baik kepada Maqis kerana semasa beliau melawat beberapa pintu masuk negara pada Januari lalu ada antaranya yang sudah mencapai hasil kutipan yang disasarkan untuk dicapai dalam suku pertama tahun ini.

Sementara itu, Haslina berkata, sebagai sebuah jabatan yang penting di bawah MOA, Maqis sememangnya mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan di peringkat kementerian dan harus dicapai bagi memastikan 'outcome' KPI tersebut sampai dan dapat dirasai oleh rakyat.

"Terdapat dua KPI yang ditetapkan iaitu meningkatkan nilai pengeluaran permit konsainan import dan eksport produk agromakanan dan meningkatkan kecekapan penguatkuasaan Akta Maqis 2011 (Akta 728) terutama dalam aspek keberkesanan dan kecekapan pengurusan kes tahanan dan rampasan di bawah Akta 728.

"Saya yakin Maqis berupaya untuk melakukannya bersandarkan kepada bukti pencapaiannya sepanjang 2019 seperti dinyatakan dalam Kad Laporan Prestasi yang menunjukkan peningkatan lima prestasi utama mengagumkan dari pelbagai aspek meliputi kutipan hasil, operasi penguatkuasaan, aktiviti kuarantin, pengeluaran permit dan komunikasi korporat," katanya.

Sempena majlis itu, beliau juga melancarkan Buku Laporan Tahunan Maqis 2019, Buku Pelan Anti Rasuah Maqis (PARM) dan Koperasi D'Maqis selain turut menyampaikan Sijil Kad Prestasi Laporan Maqis 2019, Sijil Pemenang Slogan Kata Integriti dan Sijil Penghargaan Media kepada dua agensi media termasuk Sinar Harian menerusi Kumpulan Karangkaf.