KSN buat lawatan mengejut di UTC Kuantan

Shamsul Azri menemui pengunjung bagi mendengar sendiri masalah mereka ketika berurusan di UTC Kuantan. Foto Shamsul Azri Abu Bakar
Shamsul Azri menemui pengunjung bagi mendengar sendiri masalah mereka ketika berurusan di UTC Kuantan. Foto Shamsul Azri Abu Bakar
A
A
A

KUANTAN - Isu keselesaan, kesesakan pengunjung dan kelancaran urusan di kaunter beberapa agensi kerajaan di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuantan di sini mendapat perhatian Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau yang melakukan lawatan mengejut di lokasi tersebut pada Sabtu mendapati terdapat beberapa isu yang perlu perhatian dan penambahbaikkan segera termasuk kesesakan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kekurangan kerusi tempat menunggu.

Berdasarkan rakaman video yang dikongsi melalui Facebook miliknya, Shamsul Azri dilihat menghubungi sendiri pihak berkaitan memaklumkan masalah tersebut dan mengarahkan tindakan segera diambil.

Dalam rakaman video perbualan telefonnya, beliau jelas menyebut berhubung kesesakan di kaunter JPJ apabila ramai orang datang berurusan di kaunter termasuk dari Kemaman,Terengganu.

Katanya, kesesakan berlaku terutama di kaunter urusan cukai jalan.

Hasil pemerhatian beliau, setiap kaunter dianggarkan ada 80 pelanggan beratur pada satu-satu masa dan sepanjang tiga jam lebih 300 orang telah datang untuk mendapatkan perkhidmatan.

Berdasarkan perbualan itu juga, beliau kurang berpuas hati dengan isu tempat duduk menunggu tidak mencukupi menyebabkan ada yang terpaksa berdiri antara 45 minit hingga satu jam.

Sementara itu, melalui kenyataan ringkas di Facebook juga, Shamsul Azri berkongsi khabar gembira apabila beliau telah menerima laporan pada petang hari sama mengesahkan beberapa langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan.

Menurutnya, hasil lawatan mengejut itu memberi gambaran jelas mengenai aspek yang perlu diperbaiki, terutama membabitkan keselesaan pengunjung dan kelancaran urusan di kaunter.

Artikel Berkaitan:

Selain kaunter JPJ, beliau turut melawat kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang beroperasi di situ selain melihat sendiri dedikasi petugas dalam melayani pelanggan.

Jelasnya, lawatan mengejut bukan untuk mencari kesalahan atau menghukum, tetapi lebih kepada memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Dengan turun padang secara langsung, barulah kita dapat melihat sendiri keadaan sebenar, memahami cabaran dihadapi oleh petugas, dan mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan.

"Rakyat sememangnya berhak mendapat perkhidmatan terbaik daripada kerajaan, dan inisiatif seperti ini menunjukkan kesungguhan untuk memastikan sistem sentiasa diperbaiki demi kebaikan semua," ujarnya melalui hantaran tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!