JPM perhebat didikan masyarakat ke arah keharmonian kaum

Zulkifli (dua dari kiri) ketika hadir menyempurnakan majlis Multaqa Imam dan Guru Takmir Terengganu di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di Kuala Nerus pada Sabtu.
Zulkifli (dua dari kiri) ketika hadir menyempurnakan majlis Multaqa Imam dan Guru Takmir Terengganu di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di Kuala Nerus pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan memperhebatkan penglibatan semua pihak dalam kempen advokasi dan didikan terhadap keharmonian antara kaum di negara ini bagi memastikan keharmonian dan perpaduan terus dikecapi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ia bagi melahirkan rakyat Malaysia yang bertoleransi dalam kehidupan seharian tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan kaum.

Menurutnya, ikatan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini masih berada pada tahap yang baik dan memuaskan.

"Berdasarkan pemerhatian, kita di negara ini hidup dalam suasana harmoni dan dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain.

"Namun, apa yang berlaku di media sosial agak berlainan kerana setiap individu membawa pengaruh terhadap media sosial masing-masing.

"Jadi, ini merupakan cabaran untuk kita hadapi dalam dunia digital. Kita akan memperkasakan lagi usaha ini di peringkat kementerian, jabatan, agensi dan semua institusi terlibat agar keharmonian kaum terus terjaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Multaqa Imam dan Guru Takmir Terengganu di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun, Dr Zulkifli berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai data atau kajian terperinci mengenai tahap pergaulan dan keharmonian kaum di media sosial.

Ujarnya, tindakan terhadap kes-kes tertentu melibatkan elemen jenayah dan pelanggaran undang-undang, perlu diambil mengikut saluran sedia ada oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kesalahan jenayah ada peruntukan undang-undang dan di pihak kementerian kita akan berusaha meningkatkan kefahaman serta kepentingan keharmonian antara kaum," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!