Bom Perang Dunia Kedua ditemui di landasan kereta api di Paris

Pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut selepas penemuan bom Perang Dunia Kedua di stesen kereta api di Paris. - Agensi
Pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut selepas penemuan bom Perang Dunia Kedua di stesen kereta api di Paris. - Agensi
A
A
A

PARIS – Perkhidmatan kereta api ke Stesen Gare du Nord, Paris, terpaksa dihentikan sementara pada Jumaat selepas sebutir bom Perang Dunia Kedua ditemui di landasan menuju ke terminal tersibuk di Perancis.

Syarikat kereta api nasional Perancis, SNCF berkata, bom yang tidak meletup itu ditemui pada waktu malam ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan di kawasan pinggir bandar Saint-Denis.

Menerusi satu hantaran di platform X, pengendali perkhidmatan tren RER B mengesahkan bahan letupan itu adalah dari era Perang Dunia Kedua.

Susulan penemuan tersebut, semua perkhidmatan ke Gare du Nord, yang turut menjadi terminal Eurostar serta rangkaian kereta api laju dan tempatan telah dihentikan bagi memberi laluan kepada pasukan polis Paris untuk melaksanakan operasi pelupusan bom.

Menurut SNCF, Gare du Nord, yang terletak di utara Paris, merupakan stesen kereta api paling sibuk di Perancis dengan anggaran 700,000 pengguna setiap hari. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!