Presiden MCA sokong mansuh fi RM1 - NUBE

Ka Siong (kiri), Solomon
Ka Siong (kiri), Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) memansuhkan fi RM1 bagi pengeluaran wang tunai di mesin juruwang automatik (ATM) antara bank telah mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, kempen dilancarkan sejak akhir tahun lalu menerima dukungan padu daripada ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan kesatuan sekerja.

Ketika menemui Ka Siong, beliau menyerahkan petisyen NUBE sebelum bekas Menteri Pengangkutan itu menyatakan persetujuannya terhadap tuntutan tersebut.

"Ya, saya menyokong kempen untuk menghapuskan yuran RM1. (Caj ini) tidak perlu," katanya sambil menandatangani petisyen berkenaan.

Tambahnya, dengan sokongan serta kempen tandatangan yang semakin meningkat, NUBE berharap kerajaan Madani akan memberi perhatian terhadap isu tersebut.

"Ini bukan sahaja untuk manfaat ahli NUBE malah setiap rakyat Malaysia yang terbeban dengan fi tersebut," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menegaskan, yuran RM1 tersebut memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah terutama mereka membuat pengeluaran dalam jumlah kecil.

"Seseorang yang mengeluarkan RM10 terpaksa membayar 10 peratus daripada jumlah tersebut sebagai yuran manakala mereka mengeluarkan RM1,000 hanya membayar 0.1 peratus. Adakah ini adil?" soalnya.

Pengerusi Yayasan Pengguna Kebangsaan (NCF) cawangan Sabah, David Chan turut membantah caj tersebut kerana memberi kesan tidak seimbang kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

“Fi tambahan itu memberikan tekanan kepada rakyat terutama golongan B40 yang sememangnya sedang bergelut dengan kos sara hidup tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berpendapat tiada keperluan bagi mana-mana bank Malaysia mengenakan fi RM1 bagi pengeluaran ATM antara bank.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) juga menggesa bank-bank tersebut menyerap caj itu tanpa membebankan pelanggan, memandangkan institusi kewangan memperoleh keuntungan besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!