Lelaki tunggang lembu beli juadah berbuka

JAWA TIMUR – Seorang lelaki menarik perhatian umum apabila bertindak menunggang lembu putih peliharaannya sambil membeli juadah berbuka puasa di sekitar Kecamatan Bungkal, Ponorogo di sini baru-baru ini.
Akbar Chasby Mahendra, 24, berkata, inisiatif itu dibuatnya sebagai sebahagian daripada latihan menjinakkan haiwan itu.
Menurutnya, lembu diberi gelaran Michael itu turut dihiasi loceng, rantai leher dan tali kendali bagi menarik perhatian orang ramai.
"Saya mahu memastikan lembu ini sihat dan pada masa sama keluar untuk mengisi waktu petang.

"Sepanjang Ramadan ini, sudah tiga kali saya membawa dia berjalan sambil membeli juadah berbuka.
“Michael yang beratnya kini mencecah 400 kilogram terkenal dengan kekuatan dan ketahanan terhadap cuaca panas.
"Sejak bulan lalu, dia dilatih berjalan jauh bagi membiasakan diri dan mengelakkan rasa takut apabila bertemu orang ramai,” katanya.
Akbar yang juga merupakan seorang penternak lembu berkata, aksinya telah mencuit hati penduduk setempat yang teruja melihat dia menunggang lembu tersebut untuk bersiar-siar di bazar Ramadan.
"Kebanyakan orang di sini hanya menyimpan lembu di kandang. Justeru, apabila melihat saya menunggang lembu ke pasar, mereka menganggap ia sesuatu yang luar biasa.
“Saya juga mahu menarik minat golongan muda terhadap bidang penternakan lembu," ujarnya.
Sementara itu, seorang peniaga, Eka Nur Safitri, mengakui terkejut apabila melihat Akbar dan lembu itu singgah di gerainya untuk membeli minuman.
"Saya tidak takut, cuma agak terkejut kerana jarang sekali melihat lembu dibawa berjalan-jalan seperti kuda," katanya.
Bagi seorang penduduk tempatan, Endro Dwi Saputro, kehadiran Akbar dan lembunya menjadi satu hiburan unik buat masyarakat setempat terutama kanak-kanak.
"Anak saya turut teruja melihat lembu putih yang merupakan baka Peranakan Ongole (PO) itu.
“Saya rasa ini satu hiburan menarik bagi penduduk desa dan pasti ramai yang mahu cuba untuk menunggangnya," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
