Tingkatkan liputan rangkaian sebelum fokus kepada AI - Gerakan

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengingatkan kerajaan agar memberi keutamaan kepada peningkatan liputan rangkaian di seluruh negara sebelum bercita-cita membangunkan landskap kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menegaskan bahawa kekurangan akses rangkaian yang stabil masih menjadi masalah besar terutamanya di kawasan luar bandar.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada insiden di Mukah, Sarawak, di mana seorang pemandu dikenakan saman kerana gagal menunjukkan bukti cukai jalan dan insurans secara digital disebabkan kelemahan isyarat rangkaian.
Menurutnya, kejadian sebegini tidak seharusnya berlaku dan berkemungkinan terjadi di banyak kawasan lain di Malaysia.
Oleh itu katanya, Kerajaan Perpaduan diminta supaya memperkukuhkan sistem penguatkuasaan sebelum bercakap mengenai pembangunan AI dan teknologi canggih lain.
“Saya berharap pihak penguat kuasa bukan sahaja bertindak secara adil dan saksama, tetapi juga mempertimbangkan aspek kemanusiaan dalam undang-undang.
"Pemandu yang tidak dapat menunjukkan cukai jalan atau lesen memandu kerana ketiadaan isyarat rangkaian tidak sepatutnya dipersalahkan.
"Jika mahu menguatkuasakan undang-undang di kawasan yang liputannya lemah, pastikan sistem penguatkuasaan sendiri tidak bermasalah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan membekalkan sistem tanpa wayar kepada unit penguat kuasa supaya mereka dapat menyemak maklumat secara dalam talian tanpa bergantung kepada rangkaian awam.
Dalam pada itu, Dominic Lau turut menyentuh isu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) yang dahulunya dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Beliau menyindir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang sebelum ini mengkritik AES sebagai sistem menindas rakyat tetapi kini hanya menukar namanya atas alasan keselamatan jalan raya.
“Realitinya, kebanyakan pemandu hanya akan memperlahankan kenderaan apabila menghampiri kamera pengawasan dan kembali memecut selepas melepasi zon penguatkuasaan,” katanya.
Dominic Lau turut menegaskan bahawa walaupun kerajaan mempunyai aspirasi besar dalam pembangunan teknologi, keperluan asas rakyat seperti akses komunikasi yang stabil tidak boleh diabaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

