[VIDEO] Perang promosi raya Jalan TAR

A
A
A

KUALA LUMPUR – Minggu pertama Ramadan, suasana di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di ibu negara sudah pun meriah dengan ribuan pembeli yang membanjiri pusat beli-belah dan bazar Aidilfitri.

Persaingan sengit antara jenama fesyen dan peruncit mencetuskan perang promosi luar biasa, di mana bukan sahaja diskaun besar-besaran ditawarkan, tetapi juga hadiah lumayan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati salah satu promosi yang paling mencuri tumpuan adalah cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta mewah pada setiap minggu.

Menurut Pengurus Pusat Pakaian Muaz Jalan TAR, Shaheera Shafriena Rafiee, pihaknya menawarkan kelainan istimewa tahun ini bagi menghargai pelanggan setia.

Persaingan sengit antara jenama fesyen dan peruncit mencetuskan
Persaingan sengit antara jenama fesyen dan peruncit mencetuskan "perang promosi" luar biasa

“Tahun ini kami meningkatkan ganjaran kepada pelanggan dengan hadiah cabutan bertuah setiap minggu sepanjang Ramadan dengan had pembelian hanya RM50 ke atas.

“Bukan sekadar diskaun, tetapi sebuah kereta mewah setiap minggu menanti pelanggan bertuah kami,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tidak mahu ketinggalan, Pusat Pakaian Alfaro turut menawarkan promosi hebat dengan hadiah bernilai tinggi.

Pengurusnya di Jalan TAR, Siti Nursyawani Ridzuan berkata, pusat pakaian itu menyediakan cabutan bertuah yang merangkumi bukan sahaja kereta, tetapi juga pakej umrah serta ratusan barangan elektronik.

“Setiap pelanggan yang berbelanja di Alfaro bukan sahaja dapat menikmati harga runtuh, malah berpeluang membawa pulang hadiah eksklusif,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pelanggan, Julaiha Khalid dari Ampang turut mencuba nasib menyertai peraduan cabutan bertuah ditawarkan.
Seorang pelanggan, Julaiha Khalid dari Ampang turut mencuba nasib menyertai peraduan cabutan bertuah ditawarkan.

Sementara itu, tinjauan di bazar Ramadan dan Aidilfitri Jalan TAR mendapati perang harga juga semakin rancak.

Peniaga berlumba-lumba menawarkan baju raya pada harga lebih rendah, menyebabkan suasana di kawasan tersebut semakin sesak sejak awal Ramadan.

“Saya datang dari Johor semata-mata untuk membeli baju raya di sini. Memang berbaloi sebab harga lebih murah berbanding tempat lain,” kata seorang pengunjung, Farah Hani, 32.

Perang promosi Hari Raya ini dijangka semakin sengit menjelang penghujung Ramadan, dengan lebih banyak jenama bersaing untuk memperkenalkan tawaran-tawaran menarik bagi memikat pelanggan pada saat akhir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!