'Akiko mungkin tergelincir ketika kemas rumah ' - Ridzuan Ridzokumura

Tangkap layar hantaran dimuat naik Abd Ridzuan di TikTok pada malam Selasa.
Tangkap layar hantaran dimuat naik Abd Ridzuan di TikTok pada malam Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau Ridzokumura akhirnya membuka mulut bagi menjawab segala persoalan netizen berhubung kematian isterinya, Akiko Okumura pada pagi Jumaat lalu.

Abd Ridzuan berkata, Akiko berkemungkinan tergelincir daripada tingkap ketika mengemas memandangkan aktiviti sedemikian sudah menjadi rutin arwah terutamanya setiap kali menyambut bulan puasa.

No Image Caption

“Saya rasa Akiko tergelincir, tak mungkin dia nak terjun (kondominium) ke apa tak ada, Akiko sangat sayangkan diri dia... Saya tak tahu sebab saya tak ada dalam bilik, yang saya tahu pagi (Jumaat) ternampak dia dah terjatuh.

“Harap semua faham, janganlah buat andaian yang bukan-bukan lagi. Semua orang dah tahu segala-galanya macam mana keadaan dia.

“Perjalanan arwah sangat indah, dia pergi pada hari Jumaat dan menjelang bulan Ramadan. Bagi saya, dia dah masuk terus ke syurga dan dialah bidadari syurga. Akiko pun tak pernah buat jahat pada orang lain,“ katanya ketika sesi penstriman langsung di TikTok pada Selasa.

Sebelum ini, Akiko dilaporkan meninggal dunia dan berita pemergiannya dikongsikan oleh Abd Ridzuan di media sosial.

Bagaimanapun, timbul andaian bahawa wanita warga Jepun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya mempunyai kaitan dengan Abd Ridzuan berikutan kronologi kes hampir sama.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memberitahu, mangsa berusia 50-an ditemukan meninggal dunia dalam keadaan meniarap di atas tanah oleh anggota polis peronda yang ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan MERS 999.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan wanita warga Jepun terbabit ialah Akiko dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ia kerana menurutnya, tiada sebarang unsur jenayah ditemui setakat ini, namun polis akan membuat siasatan secara keseluruhan termasuk dari sudut kriminologi.

Hussein turut memaklumkan, pihak kedutaan Jepun dan keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung kejadian itu sekali gus meminta orang awam menghentikan segala spekulasi.

Abd Ridzuan turut menceritakan kronologi lengkap di platform TikTok miliknya dari malam sebelum kejadian sehingga detik-detik Akiko ditemukan.

Abd Ridzuan dan arwah Akiko mendirikan rumah tangga sejak 2009 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Sky Taizo Okumura, 13.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!