Jururawat tempuh detik cemas dipukul lelaki kurang siuman

KUALA LUMPUR - Seorang jururawat menempuh detik mencemaskan apabila diserang secara tiba-tiba lelaki tidak dikenali ketika berjalan kaki menuju hentian bas di hadapan sebuah hotel di Jalan Pahang di sini, 28 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, mangsa seorang wanita yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipukul di belakang kepala menggunakan objek keras sebelum suspek melarikan diri.
"Tindakan pantas lelaki terbabit menyebabkan mangsa tidak sempat menyedari kehadirannya.
"Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan menerima empat jahitan selepas mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, siasatan dan maklumat diterima kemudian membawa kepada tangkapan suspek pada Sabtu.
"Suspek yang merupakan lelaki tempatan itu ditahan kira-kira jam 10.11 malam, 1 Mac lalu di sekitar lokasi kejadian.
"Pemeriksaan ke atas suspek menemukan sebilah pisau pemotong kertas dalam milikannya," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek ialah seorang lelaki kurang siuman dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri bersamanya.
"Suspek yang turut gagal mengemukakan butiran diri secara lisan itu kemudian dihantar ke HKL sebelum ditahan di Wad Psikiatri untuk pemantauan selanjutnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

