Program IMRAN PTPTN, perkukuh hubungan bersama pelajar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan tradisi berkongsi rezeki bersama warga institusi pendidikan dan komuniti setempat menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Tahun 2025.

Program itu akan berlangsung di 15 institusi pendidikan termasuk universiti awam, politeknik, kolej komuniti serta sekolah terpilih di seluruh negara dari 5 Mac hingga 20 Mac 2025.

No Image Caption



Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, IMRAN merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama PTPTN sejak 2021 yang bertujuan mengeratkan hubungan institusi pendidikan dengan agensi itu.

Menurutnya, program itu mengangkat nilai kebersamaan serta kasih sayang dalam masyarakat, selain menyantuni pelajar dan komuniti yang memerlukan.

“IMRAN bukan sekadar inisiatif kebajikan, malah ia mengukuhkan hubungan kekeluargaan PTPTN dengan institusi pendidikan menerusi kerjasama erat antara warga PTPTN, pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru serta kakitangan institusi pendidikan.

“Mereka akan bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa seperti bubur lambuk, bubur manis atau makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat,” katanya dalam majlis peluncuran program itu di ibu pejabat PTPTN di sini, pada Isnin.

No Image Caption



Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Zainah Rujihan; pengurusan PTPTN dan pelajar-pelajar PSA.

Artikel Berkaitan:

Dianggarkan lebih 10,000 penerima terdiri daripada pelajar dan masyarakat akan menerima juadah berbuka puasa sepanjang tempoh program berlangsung.

“Diharapkan sumbangan PTPTN ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan di bulan Ramadan ini,” katanya sambil menambah agensi itu berharap kolaborasi seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai pelajar serta masyarakat turut serta dan mendapat manfaat.

No Image Caption



Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN terus komited terhadap pendidikan negara dengan memperkasa inisiatif CSR.

Dengan tagline "PTPTN Prihatin - Kami Kongsi, Kami Bantu", program itu diharap dapat memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!