MP Bayan Baru bawa telur, sarung tangan getah bahas di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mencuri perhatian Dewan Rakyat apabila membawa sebutir telur dan sepasang sarung tangan getah ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2024.
Tindakan tersebut dilakukan sebagai contoh kepada perbahasannya yang menyentuh isu harga caj rawatan tidak terkawal dikenakan hospital swasta.
"Saya ingat dua tiga tahun lepas apabila harga telur naik daripada 40 sen hingga 50 sen, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) masuk untuk kawal harga.
"Tetapi sekarang kenapa tidak boleh kawal (caj rawatan) hospital swasta yang kaut sehingga 2,000 peratus keuntungan," katanya.
Dalam pada itu beliau turut menggesa satu langkah kawalan dilakukan pihak berkuasa terutama KPDN untuk menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) sebagai usaha mengatasi isu caj tinggi dan tidak dikawal dikenakan hospital swasta.
Memberi contoh seorang pesakit yang menjalani pembedahan lutut di sebuah hospital dan ditahan selama dua hari di wad, warga emas itu dikenakan caj sehingga RM39,000.
"Hospital konsultan (pakar) ada kawalan hanya RM7,800 (caj dikenakan), tetapi yang tidak dikawal seperti bekalan hospital (sehingga) RM32,000. Ini semua tiada kawalan, jadi kita kasihan kepada pesakit.
"Dia sendiri tak mahu (minta) untuk masuk hospital dan tak ada yang nak sakit, tetapi akhirnya menjadi mangsa.
"Menteri KPDN perlu guna Akta 723, bukan nak 'stranggulate' (mencekik), tetapi nak 'regulate' (kawal selia), kalau caj RM1 atau 50 sen ok," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
