Raja Nazirin dilantik CEO baharu Yayasan Selangor

YAYASAN Selangor mengumumkan pelantikan Raja Nazirin Shah Raja Mohamad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu yayasan itu, berkuat kuasa serta-merta pada Isnin.
Yayasan Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, Raja Nazirin mempunyai pengalaman luas dalam bidang hartanah dan korporat dengan lebih 20 tahun penglibatan dalam industri tersebut.
Menurut kenyataan itu, Raja Nazirin berkelulusan dalam Pengurusan Harta dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Management and Science University (MSU) serta menjalani Pengajian Pengurusan dan Pentadbiran di Universiti Kagawa, Jepun.
Kenyataan itu memaklumkan, sepanjang kerjayanya, Raja Nazirin telah berkhidmat dalam beberapa syarikat terkemuka.
"Beliau memulakan kerjaya di MRCB Sentral Properties Sdn Bhd pada tahun 2000 dengan memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan.
"Beliau bertanggungjawab untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan bagi jualan, pemasaran dan pengurusan aset di KL Sentral Sdn Bhd yang merupakan sebuah projek pembangunan bersepadu di bawah anak syarikat kepada MRCB Berhad," kata kenyataan itu pada Isnin.
Kenyataan itu menjelaskan, Raja Nazirin kemudiannya berkhidmat selama lebih enam tahun dalam bidang operasi dan korporat dengan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi dan juga Ketua Pegawai Eksekutif di PNB Commercial Sdn Bhd.
"Beliau telah ditugaskan merencana projek berprofil tinggi dalam membangun strategi Blueprint Asset Enhancement Initiative (AEI) bagi tujuan untuk meningkatkan nilaian aset dan hartanah.
"Selain itu, beliau telah memegang jawatan sebagai Vice President and Head of Commercial di PNB Merdeka Venture selama lebih setahun," jelas kenyataan itu.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, Raja Nazirin juga berpengalaman selama empat tahun sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif di AmFirst Real Estate Investment yang bertanggungjawab dalam pengurusan operasi dan komunikasi strategik.
"Pada tahun 2022 sehingga 2024, Raja Nazirin telah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Damansara Reit Managers Sdn Bhd," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, kenyataan itu memberitahu, pelantikan Raja Nazirin sebagai CEO Yayasan Selangor dijangka memperkukuhkan jenama yayasan itu sebagai sebuah entiti yang mampu menjana pendapatan sendiri melalui pembangunan aset dan hartanahnya.
"Pelantikan beliau juga sekali gus mampu mencorak impak positif dalam meningkatkan dana syarikat untuk disalurkan bagi memberdaya program-program pendidikan negeri dalam usaha melahirkan modal insan yang berjaya," tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

