Remaja OKU hilang sejak Jumaat ditemukan lemas

Bomba membantu mengeluarkan mayat yang terapung di Sungai Siam pada Ahad. - Foto: Bomba Pahang
Bomba membantu mengeluarkan mayat yang terapung di Sungai Siam pada Ahad. - Foto: Bomba Pahang
A
A
A

JERANTUT – Misteri kehilangan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) sejak Jumaat lalu terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di Sungai Siam, Felda Kota Gelanggi 3, di sini pada Ahad.

Mangsa, Muhammad Amir Mursyid bin Shamli, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar, dilaporkan tidak pulang selepas keluar untuk menunaikan solat Jumaat.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad, berkata kehilangan mangsa disedari selepas mayatnya ditemui oleh seorang individu sekitar jam 11.55 pagi sebelum menghubungi pihak polis.

"Siasatan awal mendapati mangsa sebenarnya keluar bermain dan mandi di Sungai Siam bersama tiga rakannya sekitar jam 1.30 petang pada hari kejadian.

"Ketika sedang mandi, mangsa dipercayai lemas, namun rakan-rakannya tidak berani membantu kerana takut lemas bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, rakan mangsa kemudian meninggalkan lokasi tanpa memaklumkan kejadian kepada sesiapa.

Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk bedah siasat.

"Semua saksi kejadian telah dipanggil ke Balai Polis Jerantut bagi rakaman percakapan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak polis telah meminta bantuan bomba untuk mengambil mayat remaja terbabit yang ditemui terapung di sungai itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mayat terbabit timbul di permukaan sungai, kira-kira satu meter dari tebing dengan paras air dilaporkan sekitar 0.5 meter.

"Kita tiba di lokasi pada jam 1.52 petang dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

"Malah, pasukan bomba kemudian menarik mayat menggunakan tali ke tebing sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!