Murid cedera dirempuh SUV ketika melintas

SUNGAI BULOH – [DIKEMAS KINI] Tindakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tidak berhenti ketika sekumpulan murid sedang melintas di Jalan Persiaran Fajar, Subang Bestari di sini telah mengakibatkan seorang murid sekolah rendah cedera dalam kejadian pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari ketika sekumpulan murid melintas jalan yang dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Semasa murid melintas, SUV yang dipandu seorang lelaki berumur 66 tahun datang dari arah kiri tidak berhenti walaupun anggota Rela bertugas berada di lokasi.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi kiri dan kini menerima rawatan di hospital berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Mohd Hafiz, pemandu SUV berkenaan tampil menyerah diri di balai polis kira-kira lima jam selepas kejadian.
"Anggota Rela yang bertugas ketika kejadian turut dipanggil bagi membantu siasatan, manakala pihak sekolah akan dipanggil untuk membincangkan langkah keselamatan pelajar bagi mengelak insiden berulang," katanya.
Mohd Hafiz berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-394 0423 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-6156 1222," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial berkaitan hantaran yang melaporkan seorang murid dilanggar sebuah kenderaan di berdekatan sebuah sekolah di Subang Bestari.
Pemandu terbabit turut didakwa memarahi mangsa sejurus selepas kejadian sebelum meninggalkan lokasi kemalangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


