Murid Tahun Lima bersuara lunak curi tumpuan ketika merentas desa

Tangkap layar video Azalia menyanyi di TikTok.
Tangkap layar video Azalia menyanyi di TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan sekadar cemerlang dalam pelajaran malah memiliki disiplin tinggi demi menjaga suara menjadikan murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Abu Bakar, Kedah terkenal dengan kelunakkan vokalnya yang merdu dan memukau.

Murid Tahun Lima, Puteri Azalia Mohd Taufik berkata, sejak aktif bernyanyi pada usia tujuh tahun, dia berusaha keras menjaga kesihatan diri agar dapat menyampaikan persembahan tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, penjagaan makanan sangat dititikberatkan selain turut mempelajari kaedah untuk mengatasi rasa gementar.

“Ayah saya banyak mengajar cara untuk mengawal rasa gemuruh terutama ketika membuat sebarang persembahan.

“Saya juga menjaga pemakanan seperti minum air panas dan mengelakkan makanan pedas atau manis supaya suara saya tidak menghadapi masalah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Terdahulu, tular di TikTok memaparkan seorang murid perempuan yang menyanyikan lagu dipopularkan oleh penyanyi tanah air, Nadeera Zaini ketika merentas desa.

Menerusi video berkenaan, jelas kedengaran lontaran suaranya yang lunak walaupun masih bersekolah rendah.

Menurut gurunya, Mohd Nazaruddin Siru, video itu dirakam untuk hiburan semata-mata, lebih-lebih lagi kerana Azalia sepatutnya menghadiri sesi latihan nyanyian bagi membuat persembahan di sebuah hotel.

Azalia ketika menyertai sebuah persembahan
Azalia ketika menyertai sebuah persembahan

Artikel Berkaitan:

“Walaupun ada latihan nyanyian, tetapi dia masih hendak sertai merentas desa. Saya dan guru lelaki lain memang bergerak sebagai ‘runner’ untuk murid yang tidak larat atau perlu balik ke sekolah segera ketika larian tersebut.

“Apabila ternampak Azalia, saya sajalah mengusik kalau hendak naik motor, nyanyi dahulu. Memang suara dia sedap,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai bakat dalam seni, guru pembimbing Azalia, Farrah Norashikin Juhari berkata, setiap murid mempunyai kebolehan berbeza-beza dan tidak hanya menumpukan kepada akademik sahaja.

Jelasnya, nyanyian bukan sekadar hiburan tetapi ia juga membuka minda murid dalam pembelajaran.

“Jangan ada mentaliti bahawa menyanyi itu bermakna seseorang tidak pandai belajar.

“Kita sebagai guru, sokonglah minat murid sama ada dalam bidang seni atau sukan asalkan tidak melampaui batas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!