92 tahun melindungi kedaulatan negara

No Image Caption
A
A
A

Laungan 'Gagah Setia' bukan sekadar slogan, tetapi cerminan kewujudan dan kekuatan Tentera Darat Malaysia yang sejak 1 Mac 1933 telah menjadi benteng pertahanan kedaulatan negara.

Hampir seabad, semangat ini terus membara, melambangkan keberanian yang tidak luntur dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

Dari medan pertempuran ke misi kemanusiaan, setiap langkah perajurit melakar sejarah keperwiraan, membuktikan bahawa 'Gagah Setia' adalah roh perjuangan, teras pertahanan dan warisan kejayaan Tentera Darat Malaysia.

Selama 92 tahun, Tentera Darat telah membuktikan kesetiaan dan komitmen yang tinggi dan utuh dalam menjaga keamanan dan keharmonian bumi bertuah ini.

No Image Caption

Menyingkap kembali lembaran sejarah, Tentera Darat telah mengharungi pelbagai cabaran dan ancaman, daripada perjuangan menentang penjajahan hinggalah ke usaha membanteras ancaman komunis dan pengganas.

Setiap detik perjuangan ini terpahat kukuh dalam lipatan sejarah, menjadi bukti nyata kegagahan dan semangat juang warga Tentera Darat.

Misi dan Visi Tentera Darat: Melangkah Gagah Menuju Masa Depan

Tentera Darat sentiasa komited untuk menjadi sebuah angkatan tentera yang moden, berdaya saing, dan responsif terhadap perubahan landskap keselamatan global.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Misi Tentera Darat adalah jelas, iaitu untuk melindungi kedaulatan dan kepentingan negara, sementara visinya pula adalah untuk menjadi sebuah angkatan Tentera Darat yang disegani di rantau ini.

Bagi merealisasikan misi dan visi ini, Tentera Darat sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan kekuatan dan keupayaannya melalui pelbagai inisiatif strategik.

Peningkatan Aset dan Peralatan Ketenteraan

No Image Caption



Tentera Darat sentiasa melengkapkan diri dengan aset dan peralatan yang canggih dan terkini bagi memastikan keupayaan tempur yang optimum.

Ini termasuklah pemerolehan kenderaan berperisai, sistem persenjataan moden, dan teknologi komunikasi terkini.

Peningkatan aset ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuhkan dan menjamin kedaulatan negara tetapi juga untuk memastikan Tentera Darat akan lebih berkeyakinan dan berkemampuan untuk melaksanakan tugas dengan lebih efektif.

Latihan dan Pembangunan Profesional

Anggota Tentera Darat turut membantu mengajar kanakkanak di Kelas 3M ATM, Pulau Berhala Sabah.
Anggota Tentera Darat turut membantu mengajar kanakkanak di Kelas 3M ATM, Pulau Berhala Sabah.



Tentera Darat memberikan penekanan kepada latihan dan pembangunan profesional warganya bagi memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran.

Sejajar dengan perkembangan teknologi semasa, pelbagai program latihan intensif dijalankan, baik di dalam mahupun di luar negara, bagi meningkatkan kemahiran tempur, kepakaran teknikal, dan kepimpinan warga Tentera Darat.

Bagi memastikan kepakaran warga Tentera Darat setanding di persada dunia, Tentera Darat juga menghantar pegawai dan anggota ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan dan pertahanan.

Kerjasama Pertahanan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin



Bagi mengukuhkan keselamatan serantau, Tentera Darat aktif menjalinkan kerjasama pertahanan dengan negara-negara sahabat bagi meningkatkan keupayaan ketenteraan, perkongsian kepakaran dan diplomasi.

Kerjasama ini merangkumi pelbagai aspek, antaranya ialah latihan bersama, pertukaran pegawai, dan program pembangunan kapasiti.

Melalui kerjasama ini, Tentera Darat dapat mengukuhkan kerjasama serantau secara bilateral atau multileteral di samping mempelajari amalan terbaik daripada angkatan tentera negara lain sekali gus meningkatkan kepercayaan pertahanan di peringkat global.

Tentera Darat di Era Moden: Menangani Cabaran Semasa

Anggota Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosive (CBRNE) sedang melaksanakan ujian pengesanan bahan kimia.
Anggota Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosive (CBRNE) sedang melaksanakan ujian pengesanan bahan kimia.



Landskap keselamatan global yang sentiasa berubah menuntut pasukan keselamatan untuk sentiasa beradaptasi dan berinovasi.

Spektrum ancaman keselamatan kini bukan sahaja bersifat konvensional, malah lebih meluas merentas sempadan yang merangkumi ancaman siber, keganasan, bencana alam dan pelbagai lagi.

Sebagai sebahagian dari cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai bentuk ancaman ini dengan strategi dan pendekatan yang komprehensif dan efektif.

Memperkukuhkan Keupayaan Siber

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan beramah mesra bersama keluarga yang hadir menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Pusat
Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson pada 1 Februari lalu.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan beramah mesra bersama keluarga yang hadir menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson pada 1 Februari lalu.



Dalam era digital yang semakin kompleks, Tentera Darat perlu memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan pertahanan siber.

Justeru, Tentera Darat telah menubuhkan unit peperangan siber bagi memperkukuhkan kapabiliti pertahanan siber (cyber defence capability) bagi melindungi sistem komunikasi dan maklumat Tentera Darat daripada ancaman.

Selaras dengan inisiatif ATM, kerjasama dengan Cyber Security Malaysia (CSM), Pusat Pertahanan Siber National (NCDC) dan agensi lain perlu dipertingkatkan.

Membanteras Keganasan

No Image Caption



Sebagai benteng utama pertahanan negara, Tentera Darat turut memainkan peranan penting dalam membanteras keganasan.

Tentera Darat bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan lain bagi menangani ancaman pengganas, baik di dalam mahupun di luar negara.

Tentera Darat juga aktif dalam operasi pencegahan keganasan, seperti peningkatan keselamatan di kawasan sempadan, menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi.

Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Alam

No Image Caption



Tentera Darat bukan sahaja berperanan sebagai benteng pertahanan negara, tetapi sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang ditimpa bencana alam.

Warga Gagah Setia sentiasa berada di barisan hadapan dalam misi bantuan kemanusiaan dan bencana alam.

Melalui operasi menyelamat, pengagihan bekalan dan pemulihan kawasan terkesan, pasukan ini dilengkapi dengan peralatan dan kemahiran yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan memberikan bantuan kepada mangsa bencana.

Warga Tentera Darat: Aset Paling Berharga

Bahagian Inspektorat Tentera Darat (BITD) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Tentera Darat dan Karnival Pendidikan Kerjaya UPM Tahun 2024 bertempat di Fakulti Pengajian Pendidikan
UPM, Serdang pada 24 November lalu.
Bahagian Inspektorat Tentera Darat (BITD) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Tentera Darat dan Karnival Pendidikan Kerjaya UPM Tahun 2024 bertempat di Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Serdang pada 24 November lalu.



Kejayaan dan kecemerlangan Tentera Darat adalah hasil daripada semangat juang, dedikasi, dan profesionalisme warganya.

Setiap anggota Tentera Darat, daripada pangkat tertinggi hingga ke anggota bawahan, mempunyai semangat patriotisme yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk berkorban demi negara.

Tentera Darat sentiasa komited dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warganya.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup warga Tentera Darat antaranya ialah penyediaan perumahan yang selesa, kemudahan kesihatan yang berkualiti, dan peluang pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Usaha yang berterusan juga diberikan kepada Warga Tentera Darat melalui pengiktirafan dalam work base learning (WBL) dari universiti tempatan.

Rakyat dan Tentera Darat: Hubungan Simbiotik

Tentera Darat mengakui kepentingan sokongan padu daripada rakyat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Hubungan erat antara Tentera Darat dan rakyat telah menjadi kunci kejayaan Tentera Darat dalam menjaga kedaulatan negara.

Tentera Darat terus memperkukuhkan hubungan erat dengan masyarakat melalui inisiatif kemasyarakatan selaras dengan tema pada tahun ini iaitu, 'Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Pemangkin Aspirasi Angkatan Masa Hadapan'.

Kesepaduan ini bukan sahaja memperkasakan perpaduan nasional, tetapi juga memastikan sokongan rakyat menjadi teras kepada ketahanan dan kesiapsiagaan pertahanan negara.

Justeru, Tentera Darat sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri dengan masyarakat melalui pelbagai Program Jiwa Murni dan aktiviti kemasyarakatan.

Selamat Hari Ulang Tahun ke-92 Tentera Darat Malaysia! Dalam semangat 'Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Pemangkin Aspirasi Angkatan Masa Hadapan', marilah kita terus memperkukuhkan hubungan erat antara Warga Tentera Darat dan rakyat, bersama membina ketahanan negara yang berdaya maju, berwibawa dan bersatu demi masa depan yang gemilang. 'Gagah Setia'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!