'Spiderman' panjat kubah, bersihkan masjid

JAKARTA - Seorang lelaki di Polewali Mandar, Sulawesi Barat, menarik perhatian ramai apabila tampil dengan kostum adiwira ‘Spiderman’ sambil membersihkan dan mengecat sebuah masjid menjelang ketibaan bulan suci Ramadan.
Kompas melaporkan aksi lelaki yang dikenali Ali Jenk itu dengan memanjat kubah masjid setinggi lebih 30 meter tanpa sebarang alat keselamatan, menjadi tontonan penduduk setempat, termasuk kanak-kanak yang teruja melihat ‘wira’ mereka beraksi.
"Saya berharap tindakan saya turun dilapangan ini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk turut serta bergotong-royong membersihkan rumah ibadat, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan," katanya pada Rabu.

Ali Jenk, yang berasal dari Desa Barumbung, Kecamatan Matakali, merupakan individu yang sering terlibat dalam kerja-kerja sosial seperti ini.
Dia bersama penduduk dan remaja masjid setempat bukan sahaja membersihkan kubah masjid, malah turut mengecat dan mencuci bahagian lain termasuk mimbar, karpet, sajadah, lantai, tempat wuduk serta tandas.
Semua ini dilakukan agar jemaah lebih selesa dan khusyuk beribadah sepanjang bulan Ramadan.
Menurut penduduk, Ali Jenk dikenali sebagai seorang yang mahir memanjat struktur tinggi.

Sebelum ini, dia pernah memanjat menara air setinggi 80 meter, sekali gus menjadikannya tumpuan masyarakat, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang menganggapnya sebagai Spiderman sebenar.
Dalam pada itu menurut Ali Jenk lagi, kerja amal ini dilakukan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang bayaran daripada pihak pengurusan masjid.
“Kegiatan sebegini bukan sesuatu yang baharu bagi saya. Setiap kali Ramadan atau hari-hari kebesaran Islam, saya akan turun padang untuk membantu membersihkan dan mencantikkan masjid,” katanya lagi. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

