Mesin pengimbas AI kesan helah bawa barang larangan, selit dalam bagasi

SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan pelbagai cubaan menyeludup barang larangan menggunakan bagasi untuk masuk atau keluar negara.
Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dikesan dengan penggunaan mesin pengimbas bagasi dilengkapi kecerdasan buatan (AI) di pintu masuk utama seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Norlela Ismail berkata, JKDM menerima 66 mesin pengimbas AI sejak tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, sembilan ditempatkan di balai pelepasan dan ketibaan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala enam lagi di Terminal 2.

"Mesin pengimbas AI ini dapat melihat barangan dibawa daripada pelbagai sudut termasuklah dari sisi dan atas.
"Ia sangat membantu pegawai kenal pasti barang dibawa selain mempercepatkan proses mengesan imej.
"Antara barang larangan sebelum ini dikesan biasanya senjata tajam, rokok dan minuman keras iaitu barang mempunyai duti tinggi selain memerlukan permit daripada agensi berkaitan," katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau penugasan JKDM mengendalikan mesin pengimbas AI di Terminal 1 KLIA di sini pada Rabu.

Mengulas modus operasi cubaan membawa masuk produk terlarang, beliau berkata, kebiasaannya barang itu akan disorokkan di bahagian tertentu, dibungkus dengan kain atau pelbagai peralatan dengan anggapan tidak boleh dikesan mesin pengimbas.
"Apa sahaja barang salah tidak dapat melepasi mesin pengimbas AI kerana pengimbas dibuat secara 100 peratus," ujarnya.
Tegas Norlela, sebagai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) jabatan, pegawai bertugas juga dilengkapi kamera badan sebagai langkah awal memastikan petugas menjalankan tugas dengan berintegriti.
"Pemakaian kamera badan ini menjadi SOP ditetapkan jabatan terutama di tempat sensitif," katanya.

Tambahnya, orang ramai diingatkan untuk memastikan setiap dagangan dibawa masuk atau keluar mendapat kelulusan agensi tertentu termasuklah mengikrar selain bayaran cukai atau duti kerana ia adalah hasil negara.
"Mesin pengimbas AI mampu mengurangkan ketirisan hasil dan menjaga keselamatan negara bagi kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Terdahulu, pada September tahun lalu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, mesin pengimbas AI membantu kastam dari segi pengecaman serta proses analisis imej, sekali gus dapat menganalisis corak penyeludupan barang terlarang terutamanya narkotik dengan lebih efisien.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
