Niat bantu teman wanita, tukang kayu rugi RM420,750

KUANTAN – Niat murni seorang tukang kayu untuk membantu wanita yang dikenalinya di laman sosial hampir setahun lalu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila warga emas itu mengalami kerugian sebanyak RM420,750 selepas diperdaya dalam sindiket penipuan cinta maya (love scam).
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian itu bermula apabila lelaki berusia 62 tahun tersebut berkenalan dengan wanita terbabit melalui Facebook pada awal Februari 2024.
Menurutnya, mangsa yang menetap di Temerloh berhubung dengan wanita itu melalui Messenger.
"Selepas beberapa bulan berkenalan, suspek meminta bantuan daripada mangsa untuk membayar tiket kapal terbang bagi tujuan pulang ke Amerika Syarikat.
"Mangsa berasa kasihan dan telah memindahkan wang seperti yang diminta oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Yahaya berkata, sejak itu, suspek berulang kali meminta wang atas pelbagai alasan, menyebabkan mangsa melakukan 132 transaksi ke dalam dua akaun bank berbeza, berjumlah RM420,750.
"Kesemua wang tersebut adalah hasil daripada simpanan peribadi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta pinjaman daripada rakan-rakan," katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali di media sosial.
Jelasnya, pihak polis turut mengingatkan masyarakat supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

